PN abai kebajikan rakyat luar bandar Sarawak — MPN PKR Sarawak

Jame (baju warna oren) berbual dengan Tr Eloh di tapak rumah panjang yang terbakar baru-baru ini.

KUCHING, Jun 17: Ahli Majlis Pemimpin Negeri Parti Keadilan (PKR) Sarawak, Jame Stephen menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai telah mengabaikan kebajikan rakyat di kawasan luar bandar Sarawak.

Menurut beliau, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin masih lagi lena dengan ‘kerajaan pintu belakang’ bersama PN sehingga lupa menjenguk masalah yang dihadapi masyarakat Sarawak.

“KPKT yang diterajui Zuraida dilihat gagal menjalankan tugasnya yang langsung tidak turun padang melihat kesulitan masyarakat luar bandar seperti rumah panjang dan kampung di Sarawak.


“Masyarakat rumah panjang di Sarawak kini melahirkan kemarahan kerana mandat rakyat diabaikan dan langsung tidak datang melihat rakyat ketika mengalami kesulitan seperti kejadian kebakaran rumah-rumah panjang dan bencana alam,” menurut Jame menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau perhatikan beberapa kejadian kebakaran rumah panjang telah berlaku di Sarawak seperti kebakaran di Daerah Baram yang melibatkan seramai 60 penghuni dari 12 keluarga di Kampung Long Selaan, manakala, terdapat dua kejadian kebakaran di Bintulu iaitu di Kampung Tengah dan Rumah Panjang TR Eloh Jugah.

Justeru, tambah Jame, sebagai seorang menteri Zuraida seharus datang melihat kesusahan dan membantu membantu rakyat rumah panjang kerana rata-ratanya tidak berkemampuan untuk membina semula rumah mereka.

“Zuraida seharusnya tampil membela rakyat kerana beliau merupakan menteri bertanggungjawab dalam pembangunan masyarakat perihal perumahan,” ujar beliau.

James juga mempersoalkan Jawatankuasa Rumah Panjang Sarawak yang pernah ditubuhkan oleh Zuraida suatu masa dahulu.

“Apakah komiti ini telah berkubur dan tidak relevan lagi seperti apa yang terjadi dengan program Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)?” tanya Jame. — DayakDaily