PM: Tiada syarat lengkap dos imunisasi Covid-19 untuk terima Bantuan Khas Aidilfitri 2022

Dato Sri Ismail Sabri Yaakob

KUCHING, 11 April: Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 yang diumumkan oleh kerajaan pada 5 April 2022 adalah untuk semua kakitangan awam dan pesara yang layak, termasuk mereka yang tidak mendapat dos imunisasi Covid-19 yang lengkap.

Susulan itu, kata Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) telah diarahkan supaya membatalkan Perkara 6 (VI) dalam pekeliling Bantuan Khas Kewangan
Aidilfitri 2022 bertarikh 8 April 2022.

“Bagaimanapun perkara-perkara lain dalam pekeliling tersebut masih terpakai.


“Pengumuman awal oleh saya sebelum ini tidak pernah menyatakan sebarang pengecualian bayaran kepada mana-mana penjawat awam mengikut status vaksinasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ismail Sabri, ini bagi memastikan bahawa tidak ada penjawat awam atau pesara yang layak menerima bantuan ini tercicir.

Biarpun tidak diwajibkan, ujar beliau, kerajaan menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia untuk melengkapkan dos suntikan imunisasi Covid-19 demi kesejahteraan bersama. — DayakDaily