PM: Perjanjian Penyelesaian Komersial rancakkan industri minyak dan gas Sarawak

Muhyiddin (kiri) dan Abang Johari (kanan) hadir ke majlis Perjanjian Penyelesaian Komersial minyak dan gas di antara kerajaan negeri Sarawak dan Petronas di Kuala Lumpur hari ini (7 Dis 2020).

KUCHING, 7 Dis: Perjanjian Penyelesaian Komersial minyak dan gas di antara kerajaan negeri Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) membuka lembaran baharu dalam usaha merancakkan lagi pembangunan industri minyak dan gas di Sarawak.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia bakal membuka pelbagai peluang perniagaan serta pembangunan industri yang berkaitan.

“Penyelesaian isu berkaitan pengurusan minyak dan gas ini termasuk persetujuan berhubung pengenalan cukai jualan petroleum di negeri Sarawak yang dicapai sebelum ini.


“Ini membolehkan kerajaan negeri Sarawak memperluaskan kutipan hasil untuk disalurkan kepada pelbagai program pembangunan demi kesejahteraan segenap lapisan rakyat,” kata Muhyiddin menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, perjanjian yang dimeterai hari ini juga membolehkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros), iaitu anak syarikat milik kerajaan negeri Sarawak, memainkan peranan yang lebih besar dalam industri minyak dan gas melalui kerjasama dengan Petronas.

Selain itu, kata Muhyiddin, ia bakal membuka peluang yang lebih luas kepada syarikat-syarikat di dalam industri khidmat minyak dan gas di Sarawak untuk menceburi lebih banyak bidang perniagaan berkaitan industri tersebut.

Pada masa yang sama, jelas beliau, Petronas akan terus memainkan peranan sebagai syarikat minyak nasional dengan kuasa penuh dalam mengawal selia pembangunan industri minyak dan gas secara menyeluruh, selaras dengan undang-undang negara.

“Persetujuan serta permuafakatan kedua-dua pihak dalam memetrai perjanjian komersial ini sesungguhnya melambangkan komitmen kerajaan persekutuan untuk menyelesaikan perkara ini secara bersama dengan kerajaan negeri Sarawak.

“Diharapkan penyelesaian isu ini bakal membuka lembaran baharu dalam usaha mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, selain memastikan pembangunan wilayah yang inklusif agar nikmat pembangunan negara dapat dinikmati seluruh rakyat Malaysia secara adil dan saksama,” ujar Muhyiddin.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Sarawak diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion dan disaksikan oleh Pemangku Peguam Negeri, Saferi Ali. — DayakDaily

Baca selanjutnya:

Sarawak Gas Masterplan to involve more participation from Sarawakian O&G vendors

Petros to receive oil prospecting licences to explore northern Sarawak

Commercial Settlement Agreement inked, securing Sarawak’s commercial standing in O&G industry

Petronas Group CEO: Sarawak to get more actively involved in onshore O&G activities