PM: Kerajaan PN komited pelihara hak-hak Sarawak dan Sabah

Muhyiddin menandatangani buka khas Hari Malaysia 2020.

Oleh Chris Bishop

SIBU, 16 Sept: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa kerajaan Perikatan Nasional(PN) komited untuk memastikan hak-hak bagi Sabah dan Sarawak sepertimana yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah terpelihara.

Berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2020 di Stadium Tertutup Sibu malam ini, beliau berkata, di peringkat awal pembentukan kabinet kerajaan PN satu portfolio khusus mengenai Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di Jabatan Perdana Menteri telah ditubuhkan.


Katanya, portfolio itu dipertanggungjawabkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili.

“Selain itu, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 Sept yang lalu telah bersetuju untuk menubuhkan Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 yang akan dipengerusikan oleh saya sendiri sebagai Perdana Menteri.

“Majlis Khas ini akan turut dianggotai oleh Ketua Menteri Sarawak, Ketua Menteri Sabah, Menteri-Menteri Persekutuan dan ahli-ahli lain yang akan dilantik mengikut kesesuaian, kelayakan dan bidang kepakaran masing-masing,” ujar Muhyiddin.

Tambah beliau, majlis khas ini akan membincangkan isu-isu yang berkait dengan hak-hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63.

“Antaranya ialah kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu, hak negeri di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan ‘Inter-Governmental Committee’, keselamatan negeri dan pendidikan.

“Majlis Khas ini akan dibantu oleh jawatankuasa sedia ada yang telah ditubuhkan di peringkat kementerian dan agensi persekutuan berdasarkan isu-isu yang berkaitan,” katanya.

Bendera Malaysia dinaikkan dengan diiringi lagu Negaraku pada sambutan itu.

Muhyiddin berharap agar penubuhan majlis khas ini akan dapat merungkaikan beberapa isu yang masih tertangguh.
Katanya, ia berhubung hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat MA63 dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Yang penting, katanya, usaha-usaha untuk membangun dan memajukan kedua-dua negeri ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan lagi dengan kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

“Saya hendak nyatakan di sini isu-isu yang dianggap sukar untuk diselesaikan boleh diselesaikan dengan baik apabila kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sehaluan dan sehati sejiwa.

“Saya percaya apabila kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sehaluan, yang untung ialah rakyat,” ujar Muhyiddin. — DayakDaily