PM: Kemenangan lebih 2/3 pada PRU15 akan beri laluan mudah untuk Pindaan Perkara 160 Pelembagaan Persekutuan

Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUCHING, 1 April: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berjanji akan memberikan laluan mudah dalam melaksanakan pindaan terhadap Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan sekiranya gabungan PN berupaya mendapat dua pertiga kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang.

Beliau berkata, kerajaan persekutuan memperakui kehendak Sarawak untuk meminda Perkara 160 terbabit agar ia selari dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Namum begitu, jelas Muhyiddin, sebarang pindaan berkenaan Perkara 160 itu tidak dapat dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini kerana ia memerlukan sokongan dua pertiga jumlah ahli Dewan Rakyat.


“Tapi kalau selepas pilihan raya kita menang besar lebih dua pertiga, ini laluan mudah untuk kita lakukan dengan seberapa segera pindaan berkenaan. Anda boleh berpegang pada kata-kata saya mengenai perkara ini,” katanya ketika berucap pada sesi Balai Rakyat di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching, (BCCK) di sini hari ini.

Tegas Muhyiddin, kerajaan persekutaan sentiasa mencari jalan untuk meletakkan hgubungan dengan kerajaan negeri pada asas yang lebih kukuh dan baik berlandaskan sikap saling menghormati dan persefahaman bersama.

Katanya, beliau sering mengingatkan menteri-menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal Sabah dan Sarawak untuk sentiasa berhati-hati dan memperhalusi dengan sebaiknya setiap isu yang di kemukakan berhubung hak Sabah dan Sarawak sebagai sekutu dalam pembentukan Persekutuan Malaysia.

“Saya sering mengingat menteri kabinet saya bahawa wakil dari Sabah dan sarawak ini adalah amat bijak dan memahami hak mereka jadi kita perlu amat berhati-hati, dan paling penting sekali kita mesti bersikap adil.

“Ini telahpun kita pesan supaya setiap kali pembincangan itu diadakan, setiap perkara pokok itu kita teliti sehalus-halusnya kerana ia sudahpun berstruktur,” katanya.

Kelihatan Muhyiddin berbual sebentar dengan salah seorang perserta dalam sesi balai rakyat Wawasan Kemamkmuran Bersama di BCCK hari ini (1 April 2021).

Tegas Muhyiddin, kerajaan PN harus memastikan semua orang memperoleh perjanjian yang adil sebagai warga negara Malaysia.

Katanya, komitmen tersebut telah dizahirkan menerusi penubuhan portfolio khusus iaitu Kementerian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak dan penubuhan Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 di peringkat persekutuan.

“Ini merupakan inisiatif kerajaan yang ada untuk memastikan hak yang adil dan saksama bagi rakyat Malaysia di Sarawak khususnya dapat dipelihara malahan terus dipertahankan.

“Saya juga ingin meyatakan disini bahawa kerajaan persekutan menilai semua tuntutan secara adil dengan duduk bersama dengan wakil sama ada dari kerajaan persekutuan dan juga kerajaan negeri,” katanya.

Muhyiddin dalam pada itu turut memberitahu bahawa kerajaan persekutuan sentiasa mempastikan apa sahaja isu berkaitan Sabah dan Sarawak dilaksanakan dengan adil sebagai bukti jaminan bahawa hak-hak kedua-dua wilayah itu dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. — DayakDaily