PM: Bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa meninggal dunia tanah runtuh Batang Kali

Dato Seri Anwar Ibrahim. Photo credit: Sadiq Asyraf/Prime Minister's Office

KUCHING, 19 Dis: Kerajaan telah umumkan bantuan segera kepada mangsa tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor Darul Ehsan pada 16 Disember 2022.

Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim berkata, ia melibatkan bantuan sebanyak RM1,000 kepada semua mangsa yang terselamat dan RM10,000 kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia.

“Berdasarkan kepada laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), sejurus mendapat maklumat kecemasan daripada orang awam pada jam 2.23 pagi, koordinasi antara agensi telah dibuat dengan pantas.


“Pihak penyelamat telah tiba di kawasan kejadian pada jam 2.58 pagi dan berjaya menyelamatkan mangsa pertama sejam selepas itu,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam Usul di Bawah Peraturan 14(1)(i) — Penerangan Menteri Insiden Tanah Runtuh di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-15 hari ini di Kuala Lumpur.

Tambah beliau, Dewan Rakyat amat terkesan dan sedih dengan kejadian yang melibatkan seramai 94 mangsa yang terdiri daripada warganegara Malaysia termasuk kanak-kanak dan warga asing.

“Sehingga kini, seramai 61 mangsa telah berjaya ditemui dan sebanyak 24 mangsa telah dijumpai meninggal dunia di tempat kejadian, manakala 9 lagi masih tidak dijumpai,” katanya. — DayakDaily