PM Anwar lancar Sistem Pengurusan Pintar Sawit

Anwar (kanan) meluangkan masa melawat pameran sempena kongres sawit di Kuala Lumpur.

KUCHING, 8 Nov: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Sistem Pengurusan Pintar Sawit (SIMS).

Menurut kenyataan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPM), sistem ini diwujudkan untuk memudahkan pengurusan data transaksi di sepanjang rantaian bekalan minyak sawit.

Ia juga bertujuan untuk menggalakkan kawal selia kendiri, meminimakan pengawasan kerajaan dengan ciri-ciri yang mesra pengguna.


“SIMS dibangunkan oleh MPOB (Lembaga Minyak Sawit Malaysia), membolehkan pengurusan maklumat yang komprehensif, meningkatkan kecekapan industri dan menjimatkan kos,” kata KPM.

SIMS dilancar sempena Perasmian Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB 2023 (PIPOC 2023) oleh Anwar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Dato’ Sri Fadillah Yusof.

Menurut kenyataan itu lagi, Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) telah mendapat pengiktirafan global.

Antara pengiktrirafan yang telah diperolehi adalah seperti penerimaan di bawah Kod Perolehan Mampan Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Sukan Paralimpik.

Selain itu, Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 turut mempromosikan MSPO dengan membenarkan pembekalan eksklusif roti yang dirumus oleh Institut Penyelidikan dan Perkhidmatan Teknikal Minyak Sawit MPOB (PORTSIM).

PIPOC 2023 yang berlangsung selama tiga hari bermula 7 hingga 9 November 2023 ini dianjurkan oleh MPOB.

Kongres ini menghimpunkan lebih daripada 100 penceramah terkemuka dan sekitar 2,000 peserta dari seluruh dunia sebagai platform berkongsi pandangan tentang trend semasa, cabaran, peluang dan teknologi terkini industri sawit.

Kongres ini juga menampilkan pameran perdagangan dengan lebih 400 reruai yang memaparkan kemajuan teknologi baharu industri, peralatan dan produk terkini. – DayakDaily