This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 16 Sept: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji untuk menyelesaikan semua permintaan rakyat Sarawak dan Sabah yang diberikan kepada Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa Kembara Kenali Borneo yang berakhir Rabu lepas.
“Pada hari Khamis yang lalu saya telah mengadap Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah dan Baginda masih sangat terkesan, bicara dengan penuh perasaan, bergelinang air mata kerana terpegun dengan kasih sayang rakyat tunjukan kepada Baginda berdua.
“Sudah itu saya sebagai Perdana Menteri terbeban akibat lawatan itu, kerana Al-Sultan Abdullah berikan saya semua surat-surat yang dihantar kepada Baginda semasa Kembara Kenali Borneo.
“Inilah kasih rakyat dan saya terpaksa pikul beban yang tebal,” kata Anwar dalam ucapan di Sambutan Hari Malaysia 2023 yang diadakan di Stadium Perpaduan di Kuching malam ini.
Justeru tambah beliau, setiap jentera di peringkat Kementerian akan dikerah untuk meneliti kesemua permintaan yang terkandung di dalam surat-surat tersebut.
“Saya bagi jaminan, seluruh jentera akan meneliti setiap surat dan akan kita selesaikan sebaiknya.
“Yang mana agak tertinggal, yang susah, saya berikan kepada Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak, ” kata Anwar.
Sambutan dihadiri Pemangku Tuan Yang Terutama (TYT) Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor. — DayakDaily