Platfom digital iSarawakCare menang di London Design Awards 2022

Fatimah memberi ucapan Penggulungan Kementerian di Persidangan DUN hari ini (30 Nov 2022). Tangkap skin dari siaran langsung menerusi laman Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas).

KUCHING, 30 Nov: Platfom digital iSarawakCare telah memenangi di London Design Awards 2022 bagi kategori Perkhidmatan Digital Kerajaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, rekaan data bagi platfom tersebut telah dihakimi oleh tiga juri secara ketat setelah penyertaan diserahkan pada Julai lepas.

“iSarawakCare merupakan platfom digital yang memudahkan pengurusan manfaat, insentif, bantuan kebajikan dan perkhidmatan sosial.


“Ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan ke arah transformasi digital,’ katanya dalam ucapan Penggulungan Kementerian di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Menurut Fatimah, majlis penganugerahan akan diadakan di London pada 6 Disember 2022.

Antara pemenang anugerah yang lepas ialah IBM, Sony Pictures, Sydney Government Department of Justice, Vodafone dan Spotify.

Sementara itu, Fatimah berkata, Aplikasi “MyWbest” yang dibangunkan Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman telah menjuarai Mini Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) peringkat KPWK dan mendapat tempat ke-3 KIK peringkat JKM Malaysia.

Aplikasi dibangunkan bagi memantapkan pemantauan kemajuan Program Usahawan WellBest secara digital.

“Seramai 1,269 UWB telah diberi bimbingan keusahawanan mulai tahun 2021 sehingga 15 November 2022, yang merangkumi Program Pembangunan Minda, ‘Business Coaching’, Kursus Aspirasi Platinum serta pemantauan projek perniagaan.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 193 orang telah mencatat pendapatan melebihi Paras Garis Kemiskinan (PGK) RM1,169 sebulan dan dengan itu tidak lagi memerlukan bantuan bulanan kebajikan,” ujar Fatimah.

Dalam pada itu, beliau berkata, Majlis Anugerah Usahawan Berjaya JKMS Tahun 2022 telah mengiktiraf seramai 48 orang UWB dengan Anugerah Platinum, Diamond, Gold, Silver dan Bronze berdasarkan jumlah pendapatan bersih jualan perniagaan mereka setiap bulan. — DayakDaily