PKR Sarawak harap tiada ahli parlimen yang ‘terbeli’ menjelang pengundian usul percaya terhadap PM

Abun Sui Anyit

KUCHING, 6 Ogos: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak berharap tiada ahli parlimen yang akan ‘terbeli’ menjelang dan semasa pengundian usul percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Penerangan parti, Abun Sui Anyit berkata, parti-parti politik seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan), dan Pakatan Harapan (PH) secara amnya, telah menyatakan pendirian dan meminta Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan ahli kabinet letak jawatan.

Namun, Muhyiddin pada Rabu lalu (4 Ogos) telah membuat satu pengumuman bahawa beliau masih ada sokongan majoriti ahli parlimen walaupun terdapat 11 orang ahli parlimen Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) telah menarik sokongan terhadap beliau.


“Maka, sangat menghairankan seluruh dunia, dari mana datangnya majoriti yang dikatakan Muhyiddin tersebut? Kalau benar ada sokongan majoriti, beliau sewajarnya segera mengadakan persidangan usul percaya tersebut tanpa menunggu bulan September 2021.

“Atau adakah ahli-ahli parlimen tertentu yang menyokong beliau dalam diam atau ahli parlimen halimunan? Jika ini yang berlaku, bermakna mereka ini turut bersekongkol membenarkan segala perbuatan Muhyiddin yang selama ini termasuk mengkhianati mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), gagal menangani Covid-19 dan Menteri yang menderhaka kepada Yang Di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abun turut berkata jika Muhyiddin gagal di dalam undi percaya terhadapnya, PKR Sarawak berpendirian bahawa tempoh dari kejatuhan tersebut hingga bulan Mei 2023 sepatutnya menjadi tempoh pemerintahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sejajar dengan perjanjian PH yang dipersetujui semua pihak ketika itu. — DayakDaily