PKR Sarawak gesa Sarawak Energy ambil langkah keselamatan, laporan Empangan Bakun bercanggah

Senator Abun Sui Anyit

KUCHING, 4 Okt: Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Senator Abun Sui mahukan Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) mengambil langkah-langkah keselamatan jika sesuatu yang di luar jangka berlaku kepada Empangan Bakun.

Ini berikutan percanggahan laporan yang dibuat pihak berwajib berhubung keselamatan Empangan Bakun.

“Dalam laporan akhbar oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim (NRECC), melaporkan Empangan Bakun tersenarai sebagai empangan yang ada masalah, mengancam dan perlu diperbaiki.


“Keesokan harinya Sarawak Energy Berhad pula mengeluarkan laporan bertarikh 3 Oktober 2023 menafikan laporan tersebut.

“Jadi nampaknya ada dua versi maklumat mengenai Empangan Bakun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Abun, pihak Sarawak Energy harus menyediakan langkah-langkah kecemasan demi keselamatan rakyat di hilir mahupun hulu Empangan Bakun.

“Kita perlu belajar daripada bencana akibat empangan yang berlaku di luar negara,” ujar beliau. — DayakDaily