KUCHING, 5 Sept: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang memihak kepada lima anak muda dalam memperjuangkan hak mengundi umur 18 tahun disifatkan sebagai mewakili jutaan anak muda yang lain, kata Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak.
Justeru, kata ketua penerangannya Abun Sui Anyit, kerajaan diseru agar tidak merayu kepada keputusan mahkamah tersebut dan menyegerakan Undi 18 sebelum 31 Disember 2021.
“Keputusan yang dibuat memihak kepada lima anak muda tersebut adalah mahkamah membatalkan keputusan kerajaan persekutuan Perikatan Nasional (PN) yang telah mengubah tarikh kuatkuasa Undi 18 dari Julai 2021 kepada September 2022.
“Perintah Mandamus supaya kerajaan menguatkuasakan Undi 18 mulai pada 31 Disember 2021,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Abun, kerajaan persekutuan juga digesa membenarkan usul berkaitan di dalam Persidangan Parlimen yang bermula pada 13 September ini.
Jika ini dilakukan, katanya, anak-anak muda Sarawak yang berumur 18 hingga 20 tahun dapat mengundi di dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) yang dijangka diadakan selepas 2 Februari 2022.
“Jika kerajaan serius menghormati hak anak muda, Undi 18 ini perlulah diwartakan segera oleh kerajaan persekutuan.
“Ini kerana Parlimen semasa era kerajaan Pakatan Harapan telah meluluskan Undi 18 berkuatkuasa mulai Julai 2021 sebelum ditunda oleh kerajaan PN ke September 2022,” katanya. — DayakDaily