PKR: Kerajaan gagal selesaikan isu bekalan air di Bekenu

File photo for illustration purposes only.
Advertisement

KUCHING, 23 Nov: Sri Kandi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Norhafizah Joharie menggesa kerajaan menyelesaikan masalah bekalan air bersih ke kawasan di sekitar Bekenu.

Katanya, Kemudahan asas ini sepatutnya telah diselesaikan jika negeri ini ditadbir dengan baik dan efektif.

“Jika kita lihat di kawasan sekitar Bekenu terutamanya perkampungan Kadayan, penduduknya masih menghadapi masalah ketiadaan bekalan air malah sumber air paip ada yang tidak pernah sampai ke kediaman dan sekolah luar bandar.

Advertisement

“Pelbagai aduan dibuat penduduk Kampung Tiris yang mengalami masalah gangguan bekalan air sejak beberapa tahun lepas namun keadaan bertambah parah kebelakangan ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Norhafizah, penduduk hanya akan mendapat bekalan air berjadual yang kebiasaannya pada tengah malam sehingga awal pagi.

Katanya, ini pastinya menjadi kesukaran terutamanya warga emas apabila terpaksa bangun seawal pukul 2 pagi untuk menadah air takungan bagi kegunaan seharian.

“Jika wakil rakyat dari parti BN sebelum ini dan sekarang dijenamakan semula dengan GPS menjalankan peranan beliau dengan baik, pastinya masalah ini dapat diselesaikan.

“Jika kerajaan GPS yang kononnya prihatin masalah rakyat Sarawak, pastinya tiada lagi isu kekurangan kemudahan asas di setiap ceruk kampung dan luar bandar,” ujar beliau. — DayakDaily

Advertisement