
KUCHING, 25 Jan: Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak mengecam kenyataan Menteri Muda Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis, yang didakwa mengatakan adalah tidak masuk akal untuk Ketua Kaum atau Tuai Rumah yang menyokong pembangkang menerima gaji dari kerajaan.
Ketua penerangannya Abun Sui Anyit berkata sokongan setiap pengundi semasa pilihan raya adalah hak individu untuk menyokong mana-mana parti atau calon yang bertanding.
“Jika beliau bermaksud sokong pembangkang semasa pilihan raya negeri yang lepas, bermakna kenyataan YB Francis mengelirukan rakyat.
“Ketua Kaum atau Tuai Rumah sebagai individu berhak dan bebas di bawah undang-undang untuk menyokong mana-mana parti politik dalam negara kita sebagai negara demokrasi.
“YB Francis Harden tidak boleh mencampuradukkan sokongan semasa pilihan raya dengan tugas hakiki seseorang Ketua Kaum atau Tuai Rumah selepas pilihanraya selesai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau merujuk kepada kenyataan Francis yang dikeluarkan oleh akhbar tempatan semalam (24 Jan) yang didakwa berbunyi “tidak masuk akal Ketua-Ketua Kaum yang menyokong pembangkang menerima gaji dari kerajaan”.
Abun turut berkata seseorang Ketua Kaum atau Ketua Masyarakat tidak boleh memegang jawatan politik menurut Ordinan Ketua-Ketua Masyarakat Dan Ketua-Ketua Kaum 2004 (Community Chiefs And Headmen Ordinance, 2004).
“Sebaliknya, adalah tidak masuk akal YB Francis Harden membuat kenyataan tersebut. Kenyataan yang betul sepatutnya: ‘Adalah tidak masuk akal Ketua-Ketua Kaum tidak dibayar gaji kerana menyokong pembangkang semasa pilihan raya’,” ujarnya. – DayakDaily




