KUCHING, 19 April: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Rajang mahukan Pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Sungai Asap diaktifkan semula.
Ketuanya Senator Abun Sui Anyit berkata, rakyat Belaga khususnya pekebun-pekebun kecil kelapa sawit sangat memerlukan pejabat tersebut bagi memudahkan urusan mereka.
“Pejabat MPOB Sungai Asap di Belaga ini khabarnya sudah ditutup tanpa pengetahuan penduduk yang sangat memerlukannya.
“Saya terkejut dan sedih menerima maklumat dan aduan rakyat Belaga berhubung perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Abun dalam pada itu memohon agar Kementerian Perladangan Dan Komoditi untuk segera mengatasi masalah yang timbul supaya Pejabat tersebut diaktifkan semula.
Katanya lagi, rakyat Belaga juga ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku.
“Kerajaan Perpaduan sekarang dirayu agar campur tangan demi rakyat di pedalaman Belaga.
“Pejabat MPOB Sungai Asap ini sangat diperlukan oleh pekebun-pekebun kecil sawit,” kata Abun. — DayakDaily