PKR gesa kerajaan bina Balai Polis Pusat Miri yang baharu dengan segera

Parti Keadilan Rakyat logo.

KUCHING, 10 Okt: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menggesa kerajaan mempercepatkan pembinaan Balai Polis Pusat Miri yang baharu bagi menggantikan yang lama yang dibina pada tahun 1953.

Timbalan Ketua Wanita Zulhaidah Suboh menerusi kenyataan bersama Ketua Srikandi Norhafizah Mohd Johari dan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Choon Chew Man berkata, ia demi persekitaran yang selamat dan sebuah pusat pentadbiran polis yang lebih besar, selesa dan kondusif.

“Balai Polis Pusat Miri sekarang merupakan sebuah bangunan lama dan masih digunakan sehingga hari ini untuk khidmat anggota, lokap tahanan dan orang awam.

“Keadaan bangunan yang usang dan lama telah mendatangkan risiko keselamatan terhadap anggota-anggota yang bertugas di dalam bangunan tersebut.

“Selain itu, bangunan yang telah berusia hampir 70 tahun tersebut juga kekurangan kemudahan bagi membantu anggota polis dalam menjalankan tugas mereka, seperti pakir kenderaan yang tidak mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Zulhaidah, keadaan fisikal Balai Polis Pusat Miri mengalami banyak bahagian yang sudah uzur, antaranya atap bocor dan ia tidak selamat digunakan selain persekitaran tempat bekerja yang tidak selesa.

Menurut beliau, isu balai polis itu bukan satu isu baharu kerana ianya telah pun dibincangkan sejak tahun 2014 menerusi Timbalan Menteri (Dalam Negeri) ketika itu Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku untuk meluluskan permohonan pembinaan sebuah Balai Polis baharu bagi menggantikan yang sedia ada ketika ini.

“Walaupun tujuh tahun sudah pun berlalu tetapi masih tidak nampak sebarang perkembangan atau tindakan daripada pihak yang berkenaan,” katanya. — DayakDaily