KUCHING, 21 Sept: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menggesa pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyatakan pendirian mereka terhadap kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor.
Timbalan Pengerusinya Abun Sui Anyit dalam satu kenyataan berkata, dalam perbicaraan kes rasuah itu Rosmah telah didapati bersalah dan dihukum penjara 10 tahun dengan denda RN970 juta.
“Saya masih menunggu mana-mana pemimpin GPS yang menyatakan pendirian parti mahupun Kerajaan Sarawak terhadap Keputusan Mahkamah Tinggi terhadap Rosmah Mansor.
“Kita menunggu dan menggesa GPS membuat pendirian, diam bermakna setuju dengan perbuatan rasuah Rosmah yang melibatkan ratusan juta ringgit dari projek Solar Hibrid RM1.25 bilion untuk 369 buah sekolah di pedalaman Sarawak, ” katanya.
Ujar Abun, atau GPS berpuas hati apabila salah seorang ahli PBB telah sama-sama mendapat keuntungan daripada projek tersebut walaupun terbukti merugikan anak-anak sekolah pedalaman Sarawak. — DayakDaily