PKR berpendapat Moggie layak diangkat sebagai TYT

Senator Abun Sui Anyit

KUCHING, 5 Okt: Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpendapat pemimpin Dayak yang layak diangkat sebagai Yang Dipertuan Negeri (TYT) Sarawak ialah Tan Sri Leo Moggie Irok.

Naib Pengerusinya Abun Sui Anyit berkata, ia adalah berdasarkan Perlembagaan Sarawak.

Justeru katanya, Kerajaan Sarawak digesa untuk mengambil berat perkara ini untuk memberikan keadilan kepada rakyat yang berbilang kaum.


“Ini adalah supaya kerajaan Sarawak tidak dipandang serong yang hanya dikuasai oleh satu kaum dan agama sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Abun, semasa awal pembentukan Malaysia, Tan Sri Kalong Ningkan adalah Ketua Menteri dan Gabenor pada masa itu adalah Tun Datuk Abang Openg Abang Sapiee.

Dengan situasi demikian tegas beliau, tidak mustahil perkara ini boleh dilaksanakan dalam era sekarang ini.

Sementara itu Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) Voon Lee Shan dalam satu kenyataan semalam mencadangkan Moggie antara calon TYT bila beliau mengatakan Gabenor seharusnya di kalangan Dayak.

Jelas Voon, tiada peruntukan di dalam Perlembagaan Sarawak yang menetapkan bahawa jawatan Gabenor Sarawak mesti diberi kepada Islam atau untuk satu kaum sahaja.

Oleh yang demikian katanya, sudah tiba masanya jawatan Gabenor diberi kepada bukan Islam, sebolehnya Dayak kerana majoriti penduduk negeri ini ialah Dayak.

Ujar Voon lagi, calon dari kaum Cina juga boleh dipertimbangkan untuk jawatan tersebut kerana memiliki ramai golongan ternama. — DayakDaily