PKR Baram minta kerajaan negeri mengisytiharkan Baram sebagai satu bahagian

Gambar ahli PKR Cabang Baram yang disiarkan di laman Facebook PKR Sarawak hari ini (Jun 10, 2019).

KUCHING, Jun 10: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Baram meminta kerajaan Sarawak untuk mengisytiharkan Baram sebagai satu bahagian secepat mungkin.

Ketua PKR Cabang Baram, Roland Engan berkata demikian dan mendedahkan ketika ini kawasan Baram ada tiga daerah iaitu Marudi, Telang Usan dan Beluru.

“Kami, PKR Baram, meminta supaya kerajaan Sarawak untuk mengistiharkam Baram sebagai satu bahagian secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook PKR Sarawak hari ini.

Selain itu, Roland berkata pihaknya juga mencabar tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Baram untuk membentangkan usul pada persidangan DUN Sarawak akan datang bagi menjadikan Baram sebagai satu bahagian.

“Kami mencabar wakil rakyat sedia ada iaitu (Datuk) Gerawat Gala (N78 Mulu), Dr Penguang (Datu Dr Penguang Manggil) (N76 Marudi) dan Dennis Ngau (N77 Telang Usan) untuk membentangkan usul di persidangan DUN Sarawak akan datang bagi menjadikan Baram sebagai satu bahagian,” katanya.

Roland berkata ini kerana hanya DUN Sarawak yang boleh mengistiharkan sesuatu kawasan sebagai bahagian, daerah atau daerah kecil. — DayakDaily