PKR Baram memuji kerajaan negeri siapkan Jambatan Long Lama

Parti Keadilan Rakyat logo.
Advertisement

KUCHING, 19 April: Pencapaian Kerajaan Sarawak untuk siapkan pembinaan Jambatan Long Lama harus diberi pujian, kata Parti Keadilan Rakyat (PKR) Baram.

Meskipun PKR adalah pihak pembangkang di negeri Sarawak, cawangan Baram parti tersebut berpendapat kejayaan kerajaan negeri yang dikuasai Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membina projek Jambatan Long Lama harus diberi pengiktirafan yang sewajarnya.

“PKR Baram menghargai kerja pembinaan Jambatan Long Lama meskipun projek tersbut disiapkan agak terlewat sedikit, tetapi inilah contoh projek kemudahan asas dan pembangunan infrastruktur yang dinanti-nantikan oleh rakyat.

Advertisement

“Sudah pasti rakyat akan bergerak dengan lebih selesa untuk menjalankan aktiviti harian dalam pelbagai aspek seperti pengangkutan, ekonomi, kekeluargaan dan sebagainya,” kata cabang tersebut dalam satu kenyataan media hari ini.

Ia berkata, jika dibandingkan dengan projek yang berpotensi untuk memudaratkan seperti Empangan Baram, rakyat lebih suka dengan projek “high-impact” seperti jambatan, jalan raya, loji air bersih, bekalan elektrik, sistem telekomunikasi, bangunan ibadat, pusat pendidikan, pusat himpunan masyarakat, pusat pengumpulan hasil pertanian dan sebagainya.

Untuk suatu pembangunan yang seimbang dan komprehensif, kerajaan perlu mempercepatkan proses pengukuran tanah adat mengikut Seksyen 18 (Kanun Tanah Sarawak) dan mengiktiraf semua sempadan kampung yang ditetapkan dan dipatuhi mengikut adat orang asal di Baram, ia menambah.

“Rakyat akan lebih selesa dan bebas memajukan tanah mereka dengan hakmilik tanah yang jelas dan pasti. Ini juga akan mengelakkan dakwaan bahawa projek Jambatan Long Lama hanya memberi manfaat kepada syarikat-syarikat yang beroperasi di Baram,” ujar kenyataan tersebut.

Jambatan Long Lama yang menelan belanja RM67 juta telah dibuka kepada umum secara rasmi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau pada Rabu lepas (April 17). Pembinaannya bermula pada 2016.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijangka akan merasmikan pembukaan jambatan sepanjang 573m itu pada bulan Jun ini. — DayakDaily

Advertisement