PKR akan lancar manifesto PRN12 pada 3 Dis

Abang Zulkifli Abang Engkeh

KUCHING, 27 Nov: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) dengan tema ‘Makmur Bersama Keadilan’ pada 3 Dis 2021 bersamaan dengan lawatan presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sarawak.

Pemangku pengerusi PKR Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh dalam satu kenyataan semalam (26 Nov) berkata, manifesto in berdasarkan enam teras perubahan, 17 strategi pelaksanaan dan 46 inisiatif kemakmuran demi ‘Mengangkat Martabat Sarawak, Menjulang Taraf Rakyat’.

Katanya, selama lebih daripada lima dekad, kekayaan dan kemakmuran negeri Sarawak telah dibolot dan dirampas oleh segelintir golongan pemimpin elit dan kroni.


“Ramai pemimpin yang mempunyai kekayaan yang terlalu besar dan hidup sangat mewah, sementara ramai rakyat Sarawak masih hidup dalam kemiskinan dan menderita.

“Selain itu, kekayaan negeri tidak digunakan dengan cekap, telus, adil dan amanah untuk membangunkan negeri Sarawak dengan sama rata dan memastikan kemajuan dan kemakmuran dikongsi bersama,” katanya.

Teras pertama manifesto PKR adalah “Sarawak Sihat Sejahtera” yang tertumpu kepada peningkatan taraf kehidupan dan kesejahteraan rakyat Sarawak khasnya golongan miskin.

Teras kedua pula adalah “Sarawak Makmur” yang menfokuskan kepada penjanaan sektor ekonomi dengan pengwujudan peluang pekerjaan baru untuk rakyat Sarawak, dana khas pemulihan sektor pelancongan dan sokongan untuk peniaga kecil dan sederhana (SME) melalui skim Sarawak Berniaga, Sarawak Digital dan Mikrokredit.

“Fokus utama juga akan diberikan kepada kemajuan sektor pertanian, penternakan dan perikanan. Selain daripada itu, Rancangan Pembangunan Pertanian Moden Luar Bandar (SELDA) yang berpaksikan kepentingan rakyat luar bandar akan menyediakan tanah untuk rakyat yang tiada tanah dan memberikan peluang perkerjaan yang baik melalui usaha pertanian lestari,” katanya.

Antara teras yang lain adalah “Reformasi Infrastruktur Asas” yang melibatkan pembekalan air, elektrik dan internet ke seluruh Sarawak; “Reformasi Pendidikan” yang menfokuskan baikpulih segera semua sekolah rendah dan menengah daif di Sarawak; “Reformasi Hijau dan Alam Sekitar” yang meliputi Polisi Perhutanan Lestari dan penghentian pembinaan Empangan Raksasa Hidro; dan “Transformasi Perkhidmatan Awam” yang menfokuskan kepada khidmat awam bergerak di luar bandar bagi memudahkan rakyat luar bandar mendapat kemudahan kesihatan, kebajikan, pendaftaran dan perbankan. — DayakDaily