PKPB: Pengunjung premis hanya perlu catat nama dan nombor telefon, kata Ismail Sabri

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - file pic
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mei 12: Pengunjung premis-premis perniagaan hanya dikehendaki mencatat nama dan nombor telefon, tegas Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada sidang media harian berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya hari ini, beliau memaklumkan bahawa tiada keperluan untuk mencatat nombor kad pengenalan dan alamat rumah.

Advertisement

“Kita ikut seperti aplikasi Gerak Malaysia yang hanya memerlukan nama dan nombor telefon.

“Jika ada sebarang kes, boleh hubungi nombor telefon dan tak payah tahu alamat rumah dan nombor kad pengenalan.

“Jadi dua maklumat ini sudah cukup bagi saya iaitu nama dan nombor telefon,” tegas Ismail Sabri.

Tambah beliau, kedua-dua maklumat ini diperlukan untuk tujuan pengesanan individu yang ada memasuki premis, khususnya jika ada yang berkaitan kes positif Covid-19.

Katanya, jika ada kes positif, proses pengesanan dapat dilakukan dan bukan untuk menyusahkan sesiapa.

“Ini untuk menjaga keselamatan pengunjung supaya jika ada dikesan positif Covid-19 di premis tersebut, kita dapat tahu siapa yang datang pada sekian tarikh,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata tiada keperluan untuk mencatatkan nombor kad pengenalan dan alamat rumah pengunjung kerana ramai yang tidak mahu berbuat demikian atas faktor keselamatan.

“Saya faham ramai yang tidak mahu meletakkan alamat dan nombor kad pengenalan.

“Ini adalah soal keselamatan, takut disalahgunakan nombor kad pengenalan dan sebagainya,” katanya. — DayakDaily

Advertisement