PKPB di seluruh Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya

Image by Alexey Hulsov from Pixabay

KUCHING, 12 Okt: Seluruh negeri di Sabah dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam ini sehingga 26 Oktober, 2020.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,keputusan dibuat pada sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bermesyuarat hari ini.

Katanya, sidang khas telah mendengar pengesahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung peningkatan kes-kes positif Covid-19 di Sabah.


“Antara prosedur operasi standard (SOP) adalah pergerakan keluar masuk merentas daerah adalah tidak dibenarkan.

“Bagaimanapun bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.

“Hanya dua orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan,” katanya pada sidang media hari ini.

Tambah Ismail, SOP PKPB di Sabah juga menetapkan semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman-taman awam dan pusat rekreasi adalah ditutup.

Turut ditutup ialah masjid dan surau serta rumah ibadat bukan Islam lain.

“Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis perkahwinan adalah tidak dibenarkan. Pusat-pusat hiburan dan kelab malam juga tidak dibenarkan.

“Kegiatan sektor ekonomi, industri dan perniagaan dibenarkan beroperasi seperti biasa namun perlu mematuhui SOP ketat yang telah dan akan dikeluarkan oleh MKN,” ujar beliau.

Pada sidang media itu juga, Ismail berkata MKN bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Umas yang akan berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam ini, 13 Oktober hingga 26 Oktober, 2020.

Katanya, PKPD ini akan melibatkan 800 buah rumah dengan seramai 17,549 penduduk di kawasan tersebut dan ia berikutan terdapat kes positif Covid-19 di Felda Umas, Tawau, Sabah.

Selain Sabah, sidang khas MKN hari ini juga bersetuju untuk melaksanakan PKPB di Selangor, WP Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam, 14 Oktober hingga 27 Oktober, 2020.-DayakDaily