PKP Sibu, Selangau dan Kanowit: 48,764 isi rumah terima bekalan makanan setakat ini


KUCHING, 10 Feb: Sejumlah 48,764 isi rumah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sibu, Selangau dan Kanowit telah menerima bantuan bekalan makanan setakat hari ini.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, pengagihan bekalan makanan itu juga melibatkan 1,270 rumah panjang dengan jumlah 22,612 isi rumah.

“Jawatankuasa juga telah diarahkan untuk mempercepatkan pengagihan bekalan makanan kepada baki 24,047 isi rumah daripada keseluruhan 50,245 isi rumah di Sibu pada minggu ini,” katanya pada satu sidang media hari ini.


Terdahulu beliau memaklumkan bahawa PKP di Sibu, Selangau dan Kanowit yang telah dilanjutkan sehingga 14 Februari ini melibatkan jumlah keseluruhan 72,857 isi rumah.

Bagi PKP yang di laksanakan di Kapit dan Song mulai 4 Februari lepas, Awang Tengah selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Rantaian Bekalan Makanan Covid-19 berkata, 6,681 isi rumah daripada jumlah keseluruhan 16,000 isi rumah telah menerima bantuan makanan.

Katanya, pengagihan bantuan makanan di kedua-dua bahagian dilaksanakan jawatankuasa pengurusan bencana daerah masing-masing dan mematuhi prosedur operasi ‘standard’ (SOP) yang ketat.

Kerajaan negeri, katanya, telah memperuntukkan RM6.52 juta untuk membeli dan menghantar makanan kepada isi rumah yang terjejas.

Bekalan makanan yang diagihkan adalah seperti beras, gula, tepung, kopi atau teh peket, biskut kering, mi segera, minyak masak dan sardin dalam tin.

Dalam pada itu, beliau juga telah mendapat jaminan daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bahawa stok makanan pada masa ini adalah mencukupi. — DayakDaily