PKP: Setiap kawasan DUN dapat bantuan bekalan makanan berjumlah RM200,000, kata Fatimah

Datuk Seri Fatimah Abdullah

KUCHING, 1 Apr: Setiap kawasan DUN akan diperuntukkan RM200,000 melalui peruntukan RM16.4 juta untuk menyediakan bekalan makanan kepada mereka yang memerlukan dalam kawasan mereka.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, bantuan adalah khusus untuk golongan sasar yang dikenal pasti.

“Golongan sasaran yang dibekalkan dengan makanan asas ini terdiri daripada Ketua Isi Rumah di kawasan luar bandar dan pendalaman serta golongan bandar miskin.


“Mereka yang terputus pendapatan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut menerima bantuan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Fatimah yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Khas Rantaian Bekalan Makanan, senarai penerima bantuan makanan akan ditentukan oleh Jawatankuasa Bencana Bahagian/Daerah.

Jawatankuasa itu diwakili Residen, Pegawai Daerah, agensi-agensi Kerajaan, Pusat Khidmat ADUN, dan NGO yang relevan.

Menurut beliau lagi, peruntukan telah mula disalurkan oleh Kerajaan Negeri kepada Pusat Khidmat ADUN mulai hari ini dan proses penyaluran dijangka akan selesai pada keesokan harinya iaitu 2 April 2020.

“Semua Pusat ADUN telah diminta untuk membuat tempahan makanan dengan serta merta dan setakat hari ini sebanyak 44 buah Pusat Khidmat telah membuat tempahan bekalan makanan.

“Manakala 38 Pusat Khidmat masih dalam proses berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu ujar Fatimah, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sarawak (KPDNHEP) juga telah diminta untuk memastikan bekalan makanan mencukupi di setiap 800 buah pusat jualan atau kedai runcit di seluruh Sarawak.

Katanya, semua pusat jualan atau kedai runcit ini telah dibenarkan beroperasi setiap hari dari jam 7 pagi hingga 4 petang.

Bagi kawasan pedalaman yang tidak boleh atau sukar dihubungi melalui jalan darat, Fatimah memaklumkan perkhidmatan helikopter akan digunakan.

“Contohnya dalam kawasan seperti Bario, Telang Usan, Baram, Lawas, Sri Aman dan Kapit, Pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah bersetuju untuk membantu penghantaran makanan menggunakan helikopter.

“Jadual penghantaran, pick up point untuk loading dan drop off untuk memunggah bekalan makanan asas sedang diurus dan dijangka perkhidmatan akan bermula pada 3 atau 4 April 2020,” katanya. —DayakDaily