PKP: Sarawak fikirkan bantuan tambahan kepada rakyat, kata Abang Johari

Abang Johari (kiri) pada Bicara Naratif Covid-19 Pelan Tindakan Sarawak di Kuching, semalam (Mac 29, 2020).

KUCHING, Mac 30: Kerajaan negeri akan menilai semula bentuk bantuan lain yang harus disalurkan setelah tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan dua minggu lagi, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, akibat pelanjutan tempoh itu, ramai penjaja-penjaja kecilan tidak dapat berniaga sekaligus menjejaskan pendapatan mereka.

ā€œSelain itu, banyak lagi sektor-sektor lain yang turut terjejas umpamanya sektor pengeluaran.

ā€œSaya akan kaji perkara ini walaupun kerajaan pusat melalui dasar prihatin telah memberi wang tetapi mungkin ada yang tercicir.

ā€œMaka kerajaan negeri akan bantu mereka yang tercicir ini dan saya akan nilai semula bentuk bantuan yang harus diberi kepada rakyat,ā€ katanya.

Abang Johari berkata demikian pada Bicara Naratif Covid-19 Pelan Tindakan Sarawak di Auditorium P Ramlee, RTM Sarawak di Kuching semalam.

Tambah beliau, dalam tempoh enam bulan kemudian, impak dari bantuan-bantuan ini akan dikaji dan jika positif maka ekonomi negeri sudah kembali seperti sedia kala.

Namun katanya, semua bantuan yang telah diumumkan itu adalah untuk tempoh jangka pendek dan Sarawak sudah ada pelan jangka panjang dengan projek-projek besar yang diyakini boleh meningkatkan ekonomi negeri.

ā€œAntaranya saya umumkan lebih kurang RM12 bilion dalam tempoh tiga tahun ini termasuk projek jalan pesisir dengan peruntukan RM6 bilion, bekalan elektrik dan air RM5 bilion, peruntukan program transformasi luar bandar RM400 juta, projek rakyat RM300 juta dan baik pulih sekolah daif RM1 bilion.

ā€œSemua ini akan beri kesan ekonomi untuk tempoh jangka panjang,ā€ katanya.

Pada minggu lepas, Abang Johari telah mengumumkan Pakej Bantuan Sarawakku Sayang berjumlah RM1.15 billion bagi menangani penularan wabak Covid-19.

Pakej mengandungi 16 inisiatif yang meliputi bantuan kepada barisan hadapan serta rakyat khususnya peniaga yang terjejas.

Tambah Abang Johari, bantuan tersebut harus diberikan kepada rakyat kerana dalam tempoh PKP, rakyat terpaksa duduk di rumah dan ia memberi kesan dalam kehidupan mereka khasnya dari sudut ekonomi.

Dalam keadaan ini katanya, rakyat tidak akan berbelanja dan apabila permintaan berkurangan ia akan menjejaskan aliran tunai dalam ekonomi.

ā€œSebab itu saya rasa daya beli mesti ditambah dengan kerajaan menghulurkan bantuan secara mendalam dan memulihkan kedaan ekonomi seperti sedia kala.

ā€œDengan itu, kerajaan Sarawak umumkan bantuan Sarawakku Sayang berjumlah RM1.15 billion dan semalam saya telah umumkan peruntukan tambahan RM16.4 juta lagi untuk membantu rakyat yang memerlukan seperti orang miskin, orang kampung dan yang lain,ā€ ujar Abang Johari.

Melalui pakej tersebut katanya lagi, golongan B40 akan menerima RM1,500 dengan bayaran dibuat dalam tempoh enam bulan mulai April ini.

Katanya, inisiatif ini diyakini boleh menjana aliran tunai dalam ekonomi kerana jabatan percukaian memiliki senarai 430,000 orang dan dalam hal ini kerajaan beri bantuan RM645 juta untuk rakyat.

Kedua, tambah Abang Johari, kerajaan akan menggerakan Usahawan Kecil dan Sederhana (SME) dan pada bajet yang lepas sejumlah RM30 juta telah diluluskan.

Melalui pakej Sarawakku Sayang sejumlah RM20 juta lagi ditambah sebagai pemberian suntikan pinjaman kepada SME supaya mereka boleh meneruskan perniagaan.

ā€œSelain itu, kita juga beri bantuan kepada petugas di barisan hadapan dengan peruntukan RM18 juta dan ini sudah tentu dapat membantu mereka.

ā€œSelebihnya kita beri kemudahan dari sudut diskaun, contohnya tenaga elektrik kita beri diskaun antara 10 hingga 25 peratus dengan peruntukan RM166 juta dan diskaun caj bekalan air.

ā€œKita juga beri diskaun terhadap cukai tafsiran rumah di seluruh Sarawak. Ini sudah tentu mengurangkan pendapatan pihak berkuasa tempatan, tetapi kerajaan negeri akan tanggung semuanya,ā€ ujar Abang Johari sambil menambah ia adalah pendekatan dasar fiscal negeri. ā€” DayakDaily