PKP: Jangan keluar pada hari Ahad dan cuti setiap hari, tegas Ismail Sabri

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - file pic

Oleh Chris Bishop

KUCHING, APRIL 6: Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa orang ramai untuk tidak keluar pada hari Ahad.

Gesaan dibuat setelah jumlah tangkapan pesalah yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meningkat semalam.


Menurutnya, sebanyak 554 individu ditangkap di sekatan jalanraya semalam (hari Ahad) berbanding 368 individu pada hari sebelumnya, dalam peningkatan sebanyak 51 peratus.

“Saya dimaklumkan oleh pihak polis bahawa peningkatan berlaku kerana mungkin ramai yang mengambil kesempatan keluar pada hari minggu (sebab
semalam adalah hari Ahad).

“Maka ramai yang keluar dan mereka telah dianggap melanggar PKP.

“Saya amat berharap orang ramai agar cuti setiap hari, bukan hari
minggu sahaja,” katanya pada satu sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Justeru, beliau menyeru agar rakyat tidak mengambil kesempatan pada hari minggu untuk keluar beramai-ramai.

Tegas Ismail Sabri, pada masa sekarang polis melakukan pemeriksaan dengan lebih tegas setelah Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan peningkatan kes positif Covid-19.

“Saya ingin tegaskan, tolong jangan langgar perintah di bawah PKP.

“Sebelum ini saya berasa bangga kerana peratusan tangkapan menunjukkan pengurangan selama empat hari berturut-turut,” ujar beliau lagi.

Tambah beliau, daripada 554 individu yang ditahan semalam, 489 telah direman, 65 dijamin dan 213 dituduh di mahkamah. — DayakDaily