PKP: DHHP Bintulu hulurkan bantuan makanan

DHHP Bintulu dengan bantuan ke sebuah rumah panjang di Tatau, Bintulu.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, MAC 28: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) kawasan Bintulu hari ini menghulurkan bantuan berupa makanan asas kepada sebuah rumah panjang di daerah Tatau, Bintulu.

Pemberian bantuan diselaraskan ketuanya, Achau Mujah dan bertujuan membantu meringankan beban penduduk kesan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Achau, sebanyak 50 set bekalan makanan asas seperti beras dan barangan dapur diedarkan dalam fasa pertama ini.

“PAS akan terus membantu dalam apa jua keadaan, tidak kira siapa, apatah lagi penduduk rumah panjang yang jauh dari perhatian orang lain,” katanya.

Tambah beliau, DHPP menyeru orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian dengan berhubung terus dengan Jabatan Amal Negeri Sarawak.

Katanya, ia adalah badan yang mengkoordinasikan kerja-kerja kebajikan pada musim bencana ini.

“Slogan PAS For All, menjadi peransang dan semangat kepada ahli DHPP untuk terus membantu masyarakat bukan Islam, terutamanya Iban.

“Inilah bukti bahawa betapa PAS sangat berpegang teguh pada ajaran Islam yang mengutamakan prinsip berbuat baik kepada semua manusia yang mana ia dikira sebagai pahala,” ujar beliau.—DayakDaily.