Pintu sempadan negara dibuka mulai 1 April

Dato Sri Ismail Sabri Yaakob

KUCHING, 8 Mac: Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pintu sempadan negara dibuka semula pada 1 April ini.

Menyifatkannya sebagai pengumuman besar yang paling dinanti-nantikan oleh rakyat, Ismail Sabri berkata ia bakal merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan khususnya industri pelancongan.

“Keputusan ini dibuat bersandarkan kepada tiga perkara asas, iaitu pertama berpandukan sains dan fakta terkini berkaitan Covid-19.


“Kedua, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara-negara lain.

“Ketiga, memberi keselesaan kepada pengembara dan tidak merumitkan perjalanan mereka,” katanya pada sidang media khas di Kuala Lumpur.

Dengan keputusan itu, tambah Ismail Sabri, rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah kini boleh keluar masuk negara seperti biasa serta dibenarkan untuk pergi ke mana-mana negara yang turut membuka pintu sempadannya kepada pengembara luar.

Dalam masa yang sama katanya, rakyat negara luar dengan dokumen perjalanan yang sah juga boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan.

“Sebaliknya, hanya perlu muat turun dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan Pre-Departure Form melalui fungsi “Traveller” dalam MySejahtera,” katanya.

Mengambil kira situasi penularan gelombang Omicron, ujar beliau, terdapat beberapa prosedur yang wajib dipatuhi sama ada rakyat Malaysia sendiri mahupun pengembara luar yang ingin masuk ke Malaysia.

Bagi yang telah menerima vaksinasi lengkap, tiada keperluan untuk menjalani sebarang tempoh kuarantin dan hanya perlu melalui ujian pengesanan Covid-19 RT-PCR dua hari sebelum berlepas serta ujian RTK-Ag dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.

Bagi status vaksinasi lain seperti tidak menerima vaksin atas sebab perubatan dan tidak menerima sebarang vaksinasi, Menteri Kesihatan akan memperincikan prosedurnya esok.

Kementerian yang berkaitan juga akan mengeluarkan senarai prosedur operasi ‘standard’ (SOP) pembukaan sempadan negara ini secara lebih terperinci dalam waktu terdekat terutama berhubung prosedur di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) di darat dan laut.

Dalam pada itu kata Ismail Sabri, bagi negara yang masih menutup pintu sempadannya, rakyat masih boleh memanfaatkan kaedah Vaccinated Travel Lane (VTL) yang telah dipersetujui Kerajaan Malaysia dengan negara-negara yang terbabit.

“VTL telah dimanfaatkan dengan Singapura sejak tahun lalu. Dalam masa terdekat pula, ia turut dimanfaatkan untuk melaksanakan pergerakan keluar masuk antara Malaysia-Thailand, Malaysia-Brunei dan Malaysia-Indonesia.

“Diharapkan rakyat yang ingin memanfaatkan pembukaan sempadan negara dapat melaksanakannya mengikut garis panduan yang ditetapkan demi keselamatan diri, orang sekeliling serta negara secara keseluruhannya,” ujar beliau. — DayakDaily