KUCHING, 3 Mei: Cadangan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan tanah akan dibawa ke Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mei ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pindaan tersebut akan memantapkan lagi hak tanah dari beberapa sudut.
“Kita ada pindaan berhubung undang-undang tanah. Ketika ini saya belum lagi dapat mengumumkannya.
“Secara dasarnya, pihak kabinet telah bersetuju ia dibawa ke persidangan DUN.
“Ia akan memantapkan lagi hak kita dari beberapa sudut,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2022 di sini, hari ini.
Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 akan diadakan bermula 17 hingga 26 Mei ini.
Dalam pada itu, Abang Johari kagum dengan kehadiran para pengunjung dari pelbagai latar belakang ke majlis ramah tamah yang dianjurkan beliau.
Katanya, ini satu permulaan yang baik ke arah kehidupan normal selepas 2 tahun tiada penganjuran rumah terbuka.
“Tetapi saya ingatkan supaya kita terus menjaga keselamatan dan kesihatan masing-masing supaya kita sentiasa dalam keadaan baik.
“Hari ini saya menerima semua lapisan masyarakat dan mereka menyatakan kegembiraan mereka dengan apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Abang Johari yakin kegiatan ekonomi Sarawak akan berjalan dengan lancar selepas ini.
“Ada beberapa projek tergendala akibat Covid -19 dan saya yakin pemulihan akan berlaku dengan cepat,” ujar Abang Johari.
Pada majlis tersebut, beliau turut menerima kunjungan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib.
Hadir sama Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian. ā DayakDaily