Pindaan pastikan orang luar tidak sewenangnya jadi wakil rakyat di Sarawak — Fazzrudin

Fazzrudin Abdul Rahman
Advertisement

KUCHING, 12 Nov: Semangat utama dalam Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Perlembagaan Sarawak adalah untuk memastikan orang luar Sarawak tidak sewenang-wenangnya datang dan menjadi wakil rakyat di negeri itu kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman.

Katanya, pindaan itu penting untuk dilakukan seterusnya dibincang serta dibahaskan kerana ia melibatkan perlembagaan dan hak autonomi Sarawak.

“Pindaan ini tidak boleh dipolitikkan atau digunakan sebagai modal politik oleh sesiapa bagi mewujudkan sentimen untuk memastikan penyokong-penyokong sentiasa berada di belakang.

Advertisement

“Ini mengenai Sarawak dan kita ingin melindungi hak serta rakyat Sarawak.

“Kita seharusnya berbincang bagaimana kita boleh menambahbaik bukannya memutarbelitkan sesuatu fakta bagi meraih sokongan,” katanya ketika berucap membahaskan RUU Pindaan Pelembagaan Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Fazzrudin berkata, ketika pertama kali membahaskan RUU terbabit, ADUN Kota Sentosa Chong Chieng Jen mengatakan pindaan RUU itu akan membuka ruang serta peluang kepada orang luar Sarawak untuk datang, bertanding dalam plihanraya negeri seterusnya menjadi wakil rakyat namun tidak menjelaskan tujuan RUU terbabit dipinda.

“Yang Berhormat Kota Sentosa pada hari Selasa (10 Nov) mengatakan kita akan menjual hak kita dan lain-lain tetapi hari ini baru sebentar tadi dia mengakui bahawa tindakan pindaan tersebut merupakan niat baik kerajaan untuk menambah baik pelembagaan sedia ada,” katanya.

Tegas Fazzrudin, setiap kemasukan ke Sarawak perlu melalui proses yang ketat dan masih berpegang kepada keputusan-keputusan hak autonomi yang telah di persetujui berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). — DayakDaily

Advertisement