BAU, September 15: Kecemerlangan dan kejayaan sesebuah sekolah turut bergantung kepada kekuatan dan kesepakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep semasa menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Dewan Serbaguna Sekolah Kebangsaan Jenis (SJK) Chung Hua Bau di sini.
Menurutnya, dalam situasi semasa sekarang yang banyak memerlukan sumber kewangan, jadi tanpa adanya usaha dan kegigihan PIBG sudah tentu banyak aktiviti sekolah tidak dapat dilaksanakan.
“PIBG merupakan organisasi yang penting kepada sesebuah institusi pendidikan sama ada di peringkat sekolah rendah dan menengah.
“Ini adalah kerana, fungsi dan tanggungjawab PIBG amat mencabar dalam meningkatkan kualiti pendidikan anak-anak masing-masing bersama warga pendidik,” katanya.
Harry menambah, beliau juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua yang telah menjayakan program berkenaan terutamanya kepada pihak alumni sekolah serta PIBG.
Katanya, tidak lupa juga jutaan terima kasih kepada penderma yang begitu bermurah hati memberi sumbangan untuk membiayai kos pembinaan dewan tersebut .
“Kos pembinaan dewan sebanyak RM1 juta telah disumbangkan oleh seorang ahli perniagaan terkenal dari Bau iaitu Lee Chin Teck yang juga bekas pelajar sekolah ini,” katanya. — DayakDaily