PH Sarawak sandarkan harapan pada wanita

Chong (enam dari kanan) di majlis perasmian Konvensyen Wanita PH Sarawak. Turut kelihatan Zuraida (lima dari kiri).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Sept 15: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen menyandarkan harapan kepada pimpinan wanita dalam usaha membentuk kerajaan negeri yang baharu selesai Pilihanraya Negeri Ke-12 (PRN12) nanti.

Berucap di majlis perasmian Konvensyen Wanita PH di salah sebuah hotel hari ini, Chong berkata wanita memainkan peranan penting untuk merealisasikan impian tersebut.


“Hari ini kita adakan konvensyen dan selepas ini kita akan berkerja keras dengan tanggungjawab yang besar.

“Kita hanya ada satu misi sahaja, iaitu menawan Sarawak dan wanita memainkan peranan penting.

“Selepas hari ini kita akan kerja bertungkus-lumus untuk mendekati dan menawan hati rakyat Sarawak,” katanya.

Chong yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menambah usaha itu penting bukan sahaja untuk negara dan negeri tetapi untuk kebaikan seluruh rakyat Sarawak.

Beliau turut mengingatkan ancaman gabungan UMNO dan PAS yang mungkin akan mengheret Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersama.

“Walaupun GPS memberi keputusan tidak akan menyertai gabungan tersebut, tetapi jika UMNO-PAS pada pilihanraya umum akan datang meraih sejumlah kerusi, dengan bantuan GPS mereka boleh membentuk kerajaan.

“Saya yakin GPS akan memberi kerjasama kepada gabungan UMNO-PAS,” katanya sambil berkata mereka akan memulihkan lagi kerajaan Barisan Nasional (BN).

Justeru kata Chong yang juga MP Stampin dan ADUN Kota Sentosa, GPS mesti ditewaskan pada PRN12 akan datang.

Pada majlis yang sama, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Baru Bian berkata kuasa undi wanita menjadi penentu menang kalah PH pada PRN12.

Berdasarkan taburan pengundi pada PRU14 yang lalu, katanya, wanita merupakan golongan pengundi yang terbesar.

“Dengan itu saya mahukan wanita PH memainkan peranan dengan berkesan untuk memastikan PH mengambil alih kerajaan selesai PRN12,” katanya yang juga MP Selangau dan ADUN Ba’kelalan.

Hadir sama Ketua Wanita PH Zuraida Kamaruddin yang turut melancarkan Jentera Pilihanraya Wanita PH Sarawak di majlis itu. — DayakDaily