PGU PDRM lakukan penerbangan ihsan bawa dua doktor pakar, selamatkan nyawa wanita hamil luar rahim

Kelihatan helikopter yang membawa dua doktor pakar dari Sabah ke Lawas.
Advertisement

LAWAS, Julai 10: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan penerbangan ihsan dengan membawa dua doktor pakar dari Hospital Likas, Kota Kinabalu ke Hospital Lawas awal pagi semalam.

Dalam satu kenyataan media hari ini, helikopter jenis Eurocopter Squirrel AS-355N milik Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM tersebut telah mendarat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas pada pukul 1.15 pagi.

Kata kenyataan itu, penerbangan ihsan tersebut telah diketuai oleh Supt Mohd Rodzi Harun dan dibantu Dsp Pearson Hujung Skinner dan Sarjan Mohamad Radzle Radaie.

Advertisement

“Kedua-dua doktor pakar itu terpaksa diterbangkan dari Sabah ke Lawas bagi membantu proses pembedahan di Hospital Lawas.

“Difahamkan, dua doktor pakar tersebut terlibat dalam operasi pembedahan seorang wanita warga Indonesia berusia 46 tahun yang hamil luar rahim,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan sama memberitahu, operasi pembedahan itu dikatakan berjalan lancar dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Jelas kenyataan itu, tindakan pantas membawa kedua-dua doktor pakar tersebut berjaya menyelamatkan nyawa wanita yang hamil di luar rahim berkenaan.

“Jika terlewat, kemungkinan perkara tidak dingini boleh terjadi dan keadaan wanita itu dilaporkan stabil buat masa ini,” kata kenyataan itu lagi. — DayakDaily

Advertisement