KUCHING, Okt 27: Batalion 11 Pasukan Gerakan Am Kuching berjaya mengagalkan percubaan menyeludup sejumlah 1,600 katon rokok jenis ‘Ace Merah’ bernilai anggaran RM304,000 dalam operasi Op Libas di sebuah rumah kedai terbiar di Batu 7, di sini, Sabtu lepas.
Pegawai Pemerintahnya, Supt Rosdi Inai berkata operasi tersebut dijalankan oleh sembilan pegawai dan anggota dari unit risikan batalion itu yang diketuai ASP Mohd Mazlan Mohd Ariff pada jam 10.45 pagi atas risikan dan maklumat yang diperolehi.
“Sebanyak 1,600 katon rokok yang disyaki belum lulus kastam yang disembunyikan di rumah kedai terbabit berjaya ditemui. Seorang lelaki yang disyaki penjaga premis terbabit berjaya melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa semasa serbuan dilakukan,” katanya ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Batalion 11 Pasukan Gerakan Am Kuching, Jalan Batu Kawa, di sini, hari ini.
Rosdi berkata hasil maklumat yang diperolehi, juga adalah dipercayai rokok terbabit diseludup dari negara jiran dan akan dipasarkan di pasaran tempatan.
“Kes diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang boleh membawa hukuman denda minimum 10 kali ganda nilai barangan dan maksima 20 kali nilai barang atau penjara tidak lebih tiga tahun jika sabit kesalahan,” katanya.
Sementara itu, Rosdi pada sidang media yang sama juga mendedahkan jumlah nilai rampasan pelbagai barangan termasuk barangan seludup dan balak ketika operasi Op Awas, Op Batas, Op Libas dan Op Bersepadu dijalankan pasukan batalion itu tahun ini sudah mencecah RM7.39 juta.
Jumlah nilai rampasan pelbagai barangan ketika empat operasi terbabit pada 2018 mencecah RM2.25 juta dan pada 2017 mencecah RM2.66 juta.
“Jumlah nilai keseluruhan rampasan pelbagai barangan ketika operasi-operasi terbabit dari 2017 hingga 2019 sudah mencecah RM12.31 juta,” katanya. — DayakDaily