Pewartaan RUU Tafsiran (Pindaan) 2022 dibuat segera

Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (file photo)

KUCHING, 20 Feb: Pewartaan Rang Undang-Undang Tafsiran (Pindaan) 2022 akan dibuat dalam kadar segera, kata Menteri Muda Undang-Undang, MA63 Dan Hubungan Negeri Persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Menurut beliau, pewartaan tersebut akan dilaksanakan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Pewartaan akan dibuat seberapa segera, iaitu di dalam tempoh dua minggu ini,” katanya ketika ditemui di Program ‘Let’s Talk With Wanita Pemadam’ bersempena Sambutan Hari Anti-Dadah Negeri Sarawak di Auditorium Pustaka Negeri hari ini.


RUU Tafsiran (Pindaan) 2022 telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Selasa (15 Feb) lepas.

Berhubung tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen bagi Sarawak, Sharifah Hasidah berkata ia tetap akan diteruskan.

Katanya, ia adalah hak Sarawak yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Sama ada dilaksanakan sebelum atau selepas pilihan raya umum akan datang saya tidak pasti, kita akan bawa perkara ini ke peringkat tertinggi.

“Kita tidak tahu bila pilihan raya, tapi kita tetap akan teruskan perjuangan ini; kalau boleh sebelum pilihan raya.

“Sebelum Singapura keluar dari Malaysia, memang komposisi (kerusi) kita sepatutnya satu pertiga dalam Parlimen, tetapi sekarang berkurangan,” katanya.

Tambah Sharifah Hasidah, ini adalah hak Sarawak di dalam Parlimen supaya ada ramai lagi wakil-wakil rakyat dari Sarawka di Parlimen. — DayakDaily