Petros digesa untuk segera mengerakkan operasinya selepas kemenangan kerajaan S’wak

Datuk Peter Minos

KUCHING, Jun 22: Syarikat minyak dan gas negeri ini, Petroleum Sarawak Berhad (Petros) disarankan supaya tidak menunggu dan segera mengerakkan operasinya selepas kemenangan bagi Sarawak yang menentang Petroliam National Berhad (Petronas) di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Penganalisa politik dan Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Datuk Peter Minos berkata demikian kerana dengan kemenangan tersebut bermakna Petronas kini mesti dan boleh bekerjasama dengan Petros yang dijangka akan memperolehi berbilion ringgit dari hasil minyak dan gas negeri ini.

“Jalan sudah terbuka bagi Petros untuk memasukkan ‘gear’ dan mula bergerak. Lebih cepat Sarawak mendapat wang dari minyak dan gasnya adalah lebih baik,” katanya dalam kenyataan medianya hari ini.


Peter berkata ini kerana rakyat Sarawak mahu sumber kewangan dari hasil minyak dan gas negeri ini menjadikan kehidupan mereka lebih baik dan masa depan lebih baik dengan banyak perkara yang boleh dilakukan mengunakan sumber kewangan terbabit di kawasan luar bandar dan bandar serta melaksana pembangunan yang boleh mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan.

“Sekarang barulah Sarawak boleh membicarakan tentang memberikan kemudahan dan utiliti asas kepada semua kampung dan rumah panjang dan pada masa sama membangunkan kawasan luar bandar bagi mewujudkan peluang pekerjaan dan menambah pendapatan,” katanya.

Minos berkata ini juga diharapkan membolehkan Sarawak tidak lagi perlu melutut dan merayu peruntukan kewangan dari Kuala Lumpur bagi melaksanakan pembangunan dan kemajuan kepada negeri ini supaya dapat setaraf dengan negeri di Semenanjung.

“Kita juga mesti beringat yang kekayaan dari sumber minyak dan gas mestilah digunakan dengan waras dan bijak iaitu hanya bagi menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta bukan bagi tujuan lain,”. — DayakDaily