Petronas teruskan rundingan pembayaran cukai jualan 5% produk petroleum Sarawak

Abdul Karim (dua kanan) bersama Ahmad Nizam (tengah) dan tetamu kehormat lain memasukkan logo PlaySmart sebagai simbolik merasmikan pembukaan Petrosains PlaySmart Kuching.
Advertisement

KUCHING, 15 Nov: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) masih meneruskan rundingan dengan kerajaan Sarawak mengenai pembayaran cukai jualan 5 peratus ke atas produk petroleum dari negeri tersebut.

Pengerusi Petronas, Datuk Ahmad Nizam Salleh, menafikan yang kerajaan Sarawak sudah mengambil tindakan undang-undang terhadap Petronas kerana belum membayar cukai itu.

“Itu (tindakan undang-undang terhadap Petronas) tidak ada, kita sedang berunding, itu sahaja. Rundingan Petronas dengan kerajaan Sarawak juga membabitkan kerajaan persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Petrosains Playsmart Kuching, di sini.

Advertisement

Ahmad Nizam bagaimanapun enggan mendedahkan butiran mengenai bila mesyuarat rundingan tiga pihak terbabit akan diadakan lagi dan menyatakan Petronas menyerahkan kepada kerajaan pusat bagi memutuskannya.

“Tetapi pada peringkat kami (Petronas) dan kerajaan negeri, kami sedang bekerja bersama dengan rapat, itu sahaja,” katanya.

Belias mengulas mengenai hasrat kerajaan Sarawak mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Petronas kerana gagal membayar cukai terbabit setelah memberikan tempoh sehingga 31 Oktober lepas bagi syarikat minyak negara itu membuat pembayaran.

Pelajar sekolah mencuba satu bahan permainan sains di Petrosains PlaySmart Kuching.

Sementara itu, Petrosains Playsmart di Dewan Suarah Kuching adalah keempat dibuka oleh Petronas melalui anak syarikatnya Petrosains di negara ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, yang mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, merasmikan pembukaan tersebut.

Dengan kelebaran 8,410 kaki persegi, pameran tersebut menempatkan lebih daripada 50 bahan pameran interaktif dan beberapa kawasan pembelajaran.

Pengunjung berpeluang untuk merasai keseronokan pertunjukkan sains secara langsung , demontrasi sains mini dan pertunjukkan jalanan sains untuk pengalaman pembelajaran yang lebih mendalam.

Waktu operasi Petrosains PlaySmart Kuching dari jam 9 pagi hingga 5 petang setiap Selasa hingga Ahad dan ditutup setiap Isnin dan cuti umum. Masuk adalah percuma.

Selain di Kuching, pusat Petrosains PlaySmart juga boleh didapati di Kuantan, Johor Bahru dan Kota Kinabalu, dimana ianya sama seperti di pusat utama Petrosains di Suria KLCC. — DayakDaily

Advertisement