Petronas setuju membayar 5% cukai jualan berjumlah RM2 bil kepada Sarawak

Petronas Twin Towers, a major tourist attraction — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay
Advertisement

Oleh Peter Sibon

KUCHING, 8 Mei: Petronas hari ini mengumumkan ia akan membayar RM2 billion ke atas cukai jualan yang dikenakan oleh Kerajaan Sarawak ke atas produk petroleum bagi tahun 2019 iaitu pada kadar 5 peratus.

“Kerajaan Negeri Sarawak dan Petronas hari ini telah mencapai kata sepakat dalam perundingan mengenai urusan minyak dan gas serta cukai jualan ke atas produk petroleum di Sarawak,” jelas kenyataan  yang dikeluarkan oleh Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri – Persekutuan dan Pemantauan Projek Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali bersama Pengerusi Petronas Datuk Ahmad Nizam Salleh.

Advertisement

“Kedua-dua pihak telah bersetuju bahawa pendekatan yang terbaik dalam mencapai penyelesaian bersama ialah melalui penyelesaian komersial bagi mewujudkan suasana perniagaan dan pelaburan yang lebih stabil.

“Lanjutan daripada penarikan balik semua tatacara perundangan, Petronas melalui anak-anak syarikatnya yang terlibat, akan membuat bayaran penuh ke atas cukai jualan yang dikenakan oleh Kerajaan Negeri Sarawak ke atas produk petroleum bagi tahun 2019 berjumlah RM2 bilion iaitu pada kadar 5 peratus daripada nilai jualan produk tersebut,” jelas kenyataan tersebut hari ini.

Kenyataan itu juga menyatakan persetujuan tersebut merupakan pendekatan yang mampan bagi membolehkan kelangsungan industri minyak dan gas negara terutamanya di dalam keadaan pasaran minyak dan gas yang tidak menentu pada masa ini.

Sehubungan itu, Petronas bersetuju akan menarik balik rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Sarawak mengenai permohonan Semakan Kehakiman pada 13 Mac 2020 dan Kerajaan Sarawak juga akan menggugurkan kesemua tuntutan di dalam kes sivil terhadap Petronas untuk bayaran cukai jualan ke atas produk petroleum.

“Kerajaan Negeri Sarawak turut bersetuju bahawa cukai jualan akan terhad ke atas produk petroleum yang diperuntukkan di bawah Order 2018,” jelas kenyataan tersebut.

Namun begitu, kesemua surat cara dan perjanjian yang telah dipersetujui antara Kerajaan Negeri Sarawak dengan Petronas di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144) masih sah dan berkuat kuasa.

Begitu juga, Petronas masih diiktiraf sebagai syarikat minyak negara yang mempunyai kuasa penuh dalam mengawal selia seluruh pembangunan industri minyak dan gas di negara ini, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan tersebut berkata, Kerajaan Sarawak dan Petronas akan terus membangunkan industri minyak dan gas di negeri berkenaan.

“Dalam pada itu, Petronas akan meneruskan rundingan dengan Kerajaan Negeri Sarawak dalam membolehkan penglibatan kerajaan negeri yang lebih aktif di dalam peluang pelaburan di dalam industri minyak dan gas di negeri berkenaan berdasarkan terma komersial. Ini termasuk peluang usaha sama di peringkat syarikat operasi di Sarawak,” jelas kenyataan tersebut.

Bagi memastikan pelaksanaan penyelesaian komersial berkenaan, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah dipertanggungjawabkan untuk mempengerusikan jawatankuasa bersama bagi tujuan ini.—DayakDaily

Advertisement