Pesta Makanan Dan Kebudayaan Samarahan 2022 dari 12 hingga 18 November

Minos (duduk tiga dari kiri) merakamkan kenangan bersama ahli-ahli MPKS selesai sidang media.
Advertisement

Samarahan, 5 Okt: Festival Makanan Dan Kebudayaan Samarahan 2022 akan diadakan selama tujuh hari mulai 12 hingga 18 November ini.

Walikota Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Datuk Peter Minos berkata, penganjuran pada tahun ini diadakan berskala besar dengan sokongan daripada Kementerian Pelancongan.

Katanya, sebanyak 111 gerai disediakan oleh pihak MPKS yang menjual pelbagai produk seperti makanan, minuman, hasil kraftangan termasuk pameran.

Advertisement

“‘Festival’ ini diadakan bertujuan untuk memperkenalkan produk-produk makanan tradisi, makanan popular, seni, adat dan budaya serta permainan tradisi yang terdapat serta masih dihidupkan oleh komuniti di Samarahan.

“Produk seumpama ini mampu memberi impak yang besar kepada komuniti niaga, meningkatkan ekonomi malahan mampu dijadikan salah satu produk pelancongan,” katanya di sidang media di Samarahan hari ini.

Selain itu, tambah Minos, pesta yang diadakan di tapak UPTOWN Samarahan itu juga bertujuan memperkenalkan kebudayaan di Samarahan seperti Gendang Zapin dan Berladoh Lanang yang amat jarang diketengahkan.

Beliau berharap dengan adanya acara sebegini, ia akan dapat membantu para-para peminat seni, mengasah bakat anak jati Samarahan dan sekaligus memberi peluang kepada pencinta seni.

“Ini juga salah satu usaha kita untuk meningkatkan industri pelancongan di Samarahan dengan memperkenalkan produk-produk tempatan,” katanya.

Sementara itu, Minos mensasarkan pesta pada tahun ini mampu merekodkan sejumlah 50,000 pengunjung.

Festival Makanan Dan Kebudayaan Samarahan 2022 akan dirasmikan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada 13 November.

Manakala majlis penutupan bakal disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Dato Sri Nancy Shukri pada 18 November ini. — DayakDaily

Advertisement