Pesta Ladong Bio Lepa Ajau angkat martabat Orang Ulu

Liwan (empat dari kiri) merasmikan Pesta Ladong Bio Lepa Ajau 2023. Foto: Ukas

KUCHING, 28 Mei: Pesta Ladong Bio Lepa Ajau 2023 angkat martabat dan mempamerkan identiti etnik Orang Ulu di mata dunia, kata Timbalan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Liwan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Belaga berkata, pesta pastinya menggalakkan perpaduan dan toleransi di antara rakyat Sarawak.

“Kalau ada adat dan kebudayaan yang memperkukuh dan menaikan martabat supaya kita lebih dikenali, kenapa tidak dikekalkan dan dimartabatkan lagi?” kata Liwan.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Pesta Ladong Bio Lepa Ajau 2023 di Uma Badeng, Long Dungan, Belaga pada Sabtu (27 Mei).

Jelas Liwan, budaya Orang Ulu merupakan kebudayaan yang membanggakan rakyat Sarawak mahupun di Malaysia.

“Oleh yang demikian bermula dari kita sebagai pemimpin, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum, kita cuba dari sekarang untuk memiliki satu set pakaian tradisi etnik kita sendiri untuk digunakan semasa hari keramaian seperti ini,” ujarnya. — DayakDaily