Peserta BTC berpeluang bertanding di Spartan Trail World Championship

Abdul Karim (empat dari kanan) menyaksikan majlis Memorandum Perjanjian antara wakil Sarawak Fitness Association dan The Bold Warriors Adventure & Exploration Club di Kuching.

KUCHING, 17 Ogos: Peserta kategori 50km dan 100km Borneo Trail Classic (BTC) 2022 berpeluang menyertai Spartan Trail World Championship dan bertanding bersama peserta elit dunia yang lain.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kejohanan dunia itu nanti menyediakan hadiah keseluruhan US$25,000.

BTC adalah sebahagian daripada Siri Kejohanan Dunia Spartan Trail dan merupakan perhentian ketujuh dari sembilan perhentian seluruh dunia.


Ia akan diadakan di Sarawak pada 15 hingga 16 Oktober ini di Pusat Redeems, Kampung Apar di Kuching.

“Borneo Trail Classic sudah tentu membantu industri pelancongan di negeri ini yang membawa manfaat kepada pelbagai pihak, ” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.

Menurut Abdul Karim, pelumba perlu berlumba merentasi hutan, bukit, air terjun dan sungai termasuk taman negara.

Antara laluan perlumbaan ialah Taman Negara Matang, Gunung Singai termasuk perkampungan asal seperti Singai, Apar, Segong, Barieng, Bobak, Sejinjang, Daun, Daun Ngori, Tabong, Atas, Badul, Sudoh dan Rayu.

Perlumbaan trail ini menganjurkan dua kategori perlumbaan kejohanan dunia iaitu 50km Trail dan 100km Trail Ultra dengan wang kemenangan US$18,000.

Abdul Karim yakin BTC 2022 mampu menarik penyertaan seramai 2,000 pelumba dari dalam dan luar negara

Dalam pada itu, tambah beliau, BTC tahun ini turut membuka penyertaan bagi kategori 7km, 10km dan 50km serta 1km dan 3km untuk kanak-kanak. — DayakDaily