Pesara tentera laut lesap wang RM17,200 ditipu ‘parcel scam’

PDRM logo.

Oleh Dean Adam

SIBU, Nov 3: Seorang pesara tentera laut lesap wang sebanyak RM17,200 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan ‘parcel scam’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata kejadian tersebut dilaporkan berlaku antara 24 Okt dan 2 Nov.


Berdasarkan laporan diterima, mangsa berusia 42 tahun telah menerima satu pesanan melalui telefon bimbit daripada seorang kononnya Pegawai Marin bernama Sandra Samantha Castro memberitahu hendak mengirimkan hadiah.

“Seterusnya, pada 1 Nov lalu, mangsa telah menerima panggilan telefon dari seorang lelaki dengan menggunakan nombor telefon 013-7671509 memperkenalkan diri sebagai wakil kastam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Suspek kemudian memberitahu diplomat bernama Gonzales Brown Gabriel nombor telefon +447541677825 telah tiba di KLIA dengan membawa barang kiriman yang hendak dikirimkan kepada mangsa.

“Wakil kastam tersebut kemudian memberikan nombor akaun 168603057922 supaya mangsa memasukkan wang tunai melalui Maybank untuk mendapatkan hadiah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mustafa menambah, mangsa yang tidak menyedari dirinya ditipu kemudian memasukkan wang tunai berjumlah RM17,200 melalui enam kali transaksi mulai 1 hingga 2 Nov lalu.

Katanya, selepas memasukkan wang ke dalam akaun suspek, mangsa dikatakan masih tidak menerima sebarang hadiah seperti yang dijanjikan oleh suspek.

“Suspek juga gagal dihubungi oleh mangsa selepas itu. Pesara itu kemudian membuat laporan polis selepas menyedari dirinya telah ditipu,” ujarnya. — DayakDaily