Pesara kerajaan rugi RM36K ditipu sindiket Macau Scam

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Jaythaleela K

MIRI, 10 Julai: Seorang pesara kerajaan wanita mengalami kerugian sebanyak RM36,000 akibat terpedaya dengan sindiket Macau Scam, Rabu lalu.

Wang tersebut telah dimasukan ke dalam dua akaun bank suspek, selepas takut diugut ‘ditangkap’.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri, ACP Lim Meng Seah, satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa selepas menyedari dirinya ditipu pada 9 Julai.

Mangsa berusia 60 tahun itu dipercayai menerima panggilan individu yang mendakwa dari Jabatan Kesihatan Petaling Jaya pada Rabu sekitar 9.30 pagi.

Individu tersebut menyatakan nama mangsa telah disalahgunakan oleh seseorang untuk mengambil ubat batuk dan ubat tahan sakit melebihi had daripada Jabatan Kesihatan Petaling Jaya.

ACP Lim berkata, panggilan mangsa kemudiannya disambung ke individu mendakwa sebagai ‘Sarjan Haris’ yang mengatakan bahawa mangsa juga terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dan pengubahan wang haram.

Mangsa kemudian disambung ke seorang lagi individu yang mendakwa sebagai ‘Inspektor Yong’.

‘Inspektor Yong’ telah mengugut akan menangkap mangsa pada jam 1 petang hari yang sama (Rabu).

Panggilan mangsa kemudian disambung ke ‘Inspektor Fauzi’ yang berjanji akan membantu mangsa dengan syarat, wanita tersebut mengeluarkan wang simpanan nya dari Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan memindahkan wang tersebut ke dua akaun suspek.

Namun, mangsa menyedari dirinya ditipu, telah tampil membuat laporan polis pada Khamis (9 Julai).

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.—DayakDaily