Pesara kerajaan maut dirempuh kereta dipandu warga Brunei

Keadaan motosikal mangsa.
Advertisement

LIMBANG, Feb 24: Seorang persara kerajaan maut apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta warga Brunei Darussalam di KM6, Jalan Kubong di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.05 pagi itu, mangsa, Mahal Mohamad, 64, dari Kampung Bukit Luba di sini disahkan meninggal dunia pada pukul 3.37 pagi semasa menerima rawatan kecemasan di Hospital Limbang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, pemandu kereta Toyota Soluna warga Brunei, Muhammad Fadhil Hamdan, 21, pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Advertisement

Katanya, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah bandar menuju ke Tedungan.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kemalangan, kereta yang dipandu lelaki warga Brunei itu dikatakan tiba-tiba memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal mangsa.

“Impak rempuhan kuat itu mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikalnya lalu mengalami kecederaan parah pada anggota badannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, pemandu warga Brunei itu masih ditahan 24 jam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang.

Katanya, mayat mangsa masih ditempatkan di rumah mayat hospital sama untuk dibedah siasat.

“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement