Pesara kerajaan lesap wang RM54,000 akibat terpedaya sindiket ‘parcel scam’

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

KUCHING, Mac 29: Seorang pesara kerajaan lesap wang sebanyak RM54,000 akibat terpedaya dengan sindiket ‘parcel scam’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata berdasarkan laporan diterima, wanita berusia 58 tahun telah menerima panggilan telefon daripada lelaki kononnya anggota polis dari Pulau Pinang.


Jelasnya, suspek kemudian memberitahu mangsa mengatakan dia terlibat dalam kes dadah dan penggubahan wang haram.

“Suspek juga mengatakan waran tangkap telah dikeluarkan atas nama mangsa dan dia akan dipenjarakan. Seterusnya, suspek menawarkan bantuan boleh membantu menyelesaikan kes berkenaan untuk mangsa,” katanya di sini hari ini.

Mustafa Kamal menambah, mangsa seterusnya dikehendaki untuk mengikuti arahan suspek.

Katanya, akuan mangsa perlu dibekukan atau dipindahkan ke akaun lain bagi tujuan siasatan.

“Mangsa yang panik kemudian memindahkan wang sebanyak RM54,000 dalam akaun bank suspek.

“Selepas melakukan transaksi bank, mangsa kemudian sedar bahawa dirinya telah ditipu sebelum dia membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily