This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 5 Julai: Seorang pesara kerajaan rugi RM120,000 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon (phone scam) baru-baru ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata pada pertengahan Jun lalu kira-kira jam 3.45 petang, lelaki berusia awal 60-an berasal dari Padawan telah menerima satu panggilan telefon dari seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Pegawai Kesihatan Hospital Kedah.
Katanya mangsa diberitahu oleh suspek mempunyai rekod terlebih mengambil ubat dan taliannya telah disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah untuk semakan lanjut.
“Mangsa kemudian bercakap dengan seseoranb yang memperkenalan dirinya pegawai polis berpangkat Inspektor.
“Pegawai polis (suspek) terbabit mengatakan semakan lanjut mendapati mangsa mempunyai rekod terlibat dengan kes penggubahan wang haram dan boleh ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Suspek kemudian meminta mangsa bekerjasama dengan menyerahkan butiran akaun bank kononnya untuk siasatan lanjut.
“Mangsa yang panik dan takut kemudian memberikan nombor kad ATM beserta nombor pin kepada suspek dan dia turut diminta suspek mengeluarkan wang di dalam akaun ASB sebanyak RM120,000 dan dimasukkan ke dalam akaun bank milik mangsa sendiri.
“Seterusnya mangsa turut dinasihatkan oleh suspek untuk tidak berhubung dengan pihak lain sementara siasatan dijalankan,” katanya.
Pada 3 Julai, mangsa kemudian menyemak wang di dalam akaun bank miliknya dan mendapati wang sebanyak RM120,000 telah hilang.
“Semakan lanjut mendapati terdapat lima kali transaksi pindahan wang antara tarikh 1 dan 2 Julai ke akaun bank atas nama individu tidak dikenali,” katanya.
Mangsa yang menyedari telah ditipu kemudian tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut. — DayakDaily