Pesakit larikan ambulans diberkas dalam tempoh sejam

Ambulans yang ditinggalkan oleh suspek di jalan berhampiran Wisma Saberkas.

KUCHING, Feb 20: Bagaikan aksi dalam sebuah filem apabila seorang pesakit nekad melarikan sebuah ambulans yang diletakkan di depan zon kecemasan Hospital Umum Sarawak di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari itu, suspek berusia 36 tahun telah melarikan sebuah ambulans milik Pusat Kesihatan Pakar KPJ di sini.

Menurut sumber, sebelum itu para petugas KPJ dikatakan membawa masuk seorang pesakit ke Hospital Umum Sarawak dan meninggalkan ambulans berkenaan dalam keadaan enjin masih hidup.

Katanya, melihat keadaan ambulans itu tanpa sebarang pengawasan, suspek kemudian melarikan ambulans tersebut.

“Selepas menyedari ambulans itu dilarikan, petugas di situ kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut,” kata sumber ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Supt. Abang Junaidi Abang Annuar mengesahkan penahanan suspek berkenaan.

Jelasnya, suspek dari Kampung Siol Kandis di sini ditahan pada pukul 1.50 petang.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak semalam bagi menjalani pemeriksaan.

“Suspek ditangkap di perkarangan Hospital Umum Sarawak selepas dia dipercayai meninggalkan ambulans berkenaan di jalan berhampiran Wisma Saberkas di sini,” katanya lagi. — DayakDaily