Oleh Chris Bishop
GEDONG, Mac 24: Kerajaan negeri menubuhkan Agensi Pembangunan Bersepadu Samarahan (ISDA) yang akan turut fokus pada pembangunan di Simunjan dan Gedong.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata sejumlah RM1.5 biliun diperuntukkan untuk ISDA bagi menjayakan program pembangunan dalam tempoh 2 tahun ini.
“Dengan adanya agensi ini, saya nak ubah pendekatan pembangunan di Samarahan. Pada minggu lepas saya telah meluluskan RM500 juta untuk kerja-kerja menguatkan benteng di kawasan ini supaya air masin tidak masuk.
“Dan untuk pembangunan seluruh Samarahan, saya telah beri RM1.5 bilion untuk menjayakan program pembangunan dalam tempoh 2 tahun ini.
“Kenapa saya buat begini adalah supaya pembangunan kita lebih fokus. Jambatan Gedong ke Lubuk Bunting yang berharga RM50 juta kita luluskan dan projek ini dimasukkan dalam ISDA,” kata beliau.
Abang Johari berkata demikian semasa merasmikan Pesta Gedong di Panggung Terbuka Gedong di sini, pagi tadi.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.
Sehubungan dengan itu, Abang Johari berharap rakyat terus setia dan memberi sokongan kepada kerajaan negeri, Gabungan Parti Sarawak(GPS).
“Janganlah nanti ada yang berkata Abang Johari umumkan projek tetapi jambatan tidak ada. Semua ini mengambil masa, dan yang penting peruntukkan ada.
“Jika ada duit, semua berjalan dengan lancar dan kita sediakan perancangan yang mana selepas itu jambatan akan dibina.
“Yang penting mesti ada peruntukkan. Jangan seperti Kuala Lumpur, beri peruntukkan tetapi kemudiannya ditarik balik,” kata beliau.
Mengambil contoh Projek Jambatan Batang Lupar, Abang Johari berkata kerajaan pusat Pakatan Harapan(PH) terdahulu mengatakan ada peruntukkan tetapi kemudiannya telah ditarik balik.
“Bukankah buruk siku itu namanya? Maka kerajaan PH adalah kerajaan buruk siku.
“Orang Sarawak tidak buruk siku; kalau kita cakap kita tetap akan laksanakan,” tegas Abang Johari.
Selain Jambatan Batang lupar, PH ,kata beliau, turut menarik balik projek Jambatan Rambungan, Jambatan Igan dan perlaksanakan model PDP pada Projek Lebuhraya Pan Borneo.
Beliau menambah kerajaan PH seakan ingin menarik balik semua projek di Sarawak atas alasan kekangan kewangan tetapi berhasrat pula ingin melaksanakan projek kereta terbang.
“(Walaupun mereka) tariklah semua, kerajaan negeri akan meneruskan. Peruntukkan RM1 biliun telah diberi untuk Jambatan Batang Lupar begitu juga dengan projek lain,” tambah beliau. — DayakDaily