Peruntukan untuk Finas mungkin akan dikurangkan

Shakib (dua dari kanan) menyampaikan sijil kepada peserta Bengkel Skrip Ke Media Dan Bengkel Varicam/Eva1 Cinematic Camera di Auditorium, Finas Cawangan Sarawak, Petra Jaya.
Advertisement

KUCHING, Mac 19: Kementerian Komunikasi dan Multimedia melihat kemungkinan mengurangkan peruntukan kewangan yang disalurkannya kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) termasuk cawangannya di Sarawak tahun ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Shakib Ahmad Shakir menjelaskan ini disebabkan kementerian tersebut menerima peruntukan kewangan yang berkurangan dari kerajaan pusat pada tahun ini.

“Kementerian (Komunikasi dan Multimedia) secara keseluruhan mendapat jumlah (peruntukan dari kerajaan pusat) yang berbeza tahun ini dan kurang dari apa yang kami dapat sebelum ini dan ini maksudnya Finas khususnya dana pembangunan industri kreatifnya juga akan dikurangkan,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Bengkel Skrip Ke Media Dan Bengkel Varicam/Eva1 Cinematic Camera di Auditorium, Finas Cawangan Sarawak, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Advertisement

Majlis tersebut menyaksikan Finas Cawangan Sarawak melancarkan aplikasi telefon pintar dinamakan Data Anak Seni Kenyalang bagi menyimpan data mengenai anak seni perfileman di negeri ini.

Majlis itu juga dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Pengarah Finas Cawangan Sarawak, Maffizan Saupie.

Shakib berkata beliau tidak dapat mendedahkan jumlah sebenar pengurangan peruntukan kepada kementerian itu tetapi sebelum ini peruntukan itu agak mewah dan disebabkan keadaan ekonomi semasa kerajaan pusat mengkajinya semula dan mengurangkannya tahun ini.

Menurutnya Finas termasuk cawangannya di Sarawak juga akan menerima kesan dari pengurangan peruntukan kementerian terlibat termasuk dana mikro yang disediakan cawangan itu bagi membantu pengiat baru dalam industri perfileman negeri ini.

“Dana mikro terbabit sudah mula ditawarkan mulai tahun ini dan kami juga sudah ada menerima permohonan mendapatkannya (dari kalangan pengiat industri perfileman negeri ini),” katanya, tetapi tidak mendedahkan butiran terperincinya jumlahnya.

Shakib berkata ini kerana jumlah dana mikro tersebut tidak besar sehingga mencecah juta ringgit tetapi jumlahnya bergantung kepada kriteria yang ditetapkan termasuk samada pengiat perfileman sudah kukuh dalam industri itu ataupun baru menceburinya.

Katanya bagi pengiat industri perfileman tempatan yang sudah kukuh dalam industri tersebut, kemungkinan sehingga sekitar 10 peratus kos pengeluaran filem mereka akan ditanggung Finas Cawangan Sarawak melalui dana mikro itu. — DayakDaily

Advertisement